Sumbangan Anda Diperlukan

Sumbangan anda hanya dengan membuat belian Produk HPA Industries Sdn Bhd.Di Cawangan/ Stokis HPA dekat dengan anda: Seperti Air Minuman HPA "Gau", Ubat Gigi, Sabun Mandi, Syampoo, Kopi Radix "Mai Secawan" serta 180 produk yang lain. Dengan mengunakan id : 369611.MY01 (DPP Kawasan Marang). Anda juga boleh jadikan id ini sebagai Penaja Anda.Untuk mengetahui lanjut tentang HPA ikuti Seminar PBC dengan bayaran RM150.00 rujuk http://seminarpbc.blogspot.com

[ hpa4online.com ]

Wednesday, April 30, 2008

Isu Pengarah Jaip,Pemuda PAS Perak mempertahankan tindakan MB

IPOH, 30 April - Dewan Pemuda PAS Perak mempertahankan keputusan dan tindakan yang dibuat oleh Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin yang mengarahkan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (Jaip), Dato' Jamry Sury bertukar ke jabatan lain dalam tempoh 24 jam.

Sidang Dewan Rakyat panas..

Oleh Utusan [Rabu, 30 April 2008 ]

KL: Menepati ramalan, hari pertama persidangan Dewan Rakyat hari ini berlangsung dalam suasana panas apabila masing-masing Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang saling teruja untuk bangkit bersuara mengemukakan pelbagai isu sehinggakan sesi soal jawab yang sepatutnya bermula pukul 10 pagi hanya dimulakan setengah jam kemudian.

Awal-awal lagi anggota veteran pembangkang, Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) membangkitkan soal Ahli Parlimen tidak mengangkat tangan kanan semasa upacara angkat sumpah Isnin lalu, sehingga memaksa Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengeluarkan keputusan mengesahkan pelantikan semua anggota Dewan itu.

Tugas Yang Dipertua Dewan Rakyat jelas cukup menguji Pandikar apabila beliau terpaksa menghadapi satu demi satu Aturan Mesyuarat (Point of Order) daripada Ahli-ahli Parlimen pembangkang terutamanya yang tidak berpuas hati dengan keputusan beliau untuk tidak membenarkan soalan tambahan kepada soalan pertama daripada Razali Ibrahim (BN-Muar) kepada Perdana Menteri.

``Pada persidangan kali ini saya tidak boleh memberikan soalan tambahan,'' kata Pandikar, sambil memberi alasan masa sudah terlalu lama dihabiskan dengan melayan Aturan Mesyuarat sedangkan yang lebih penting ialah mengemukakan soalan-soalan untuk kepentingan rakyat.

Keputusan Pandikar itu menyebabkan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang melenting dan menyifatkannya tidak masuk akal.

``Ini `ridiculous'...Perdana Menteri sudah datang sini. Kalau tidak... tak payah datang pun tak apa,'' katanya.

Ketika ini lebih ramai Ahli-ahli Parlimen bangkit membantah dan ada juga yang menegur Kit Siang sehinggakan timbul kekecohan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kemudian bangun meminta izin Yang Dipertua untuk mendengar satu atau dua soalan tambahan.

Pandikar kemudian membenarkannya menyebabkan ramai yang bangun sebelum beliau memanggil Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengemukakan soalan tambahan.

Tuesday, April 29, 2008

Setiausaha Politik MB Kedah fail petisyen Dun Belantik

ALOR STAR, 29 April - Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah, Mohd. Sanusi Md. Nor hari ini memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan pilihan raya umum (PRU) ke-12 yang lalu bagi Dun N.23 Belantik.

Petisyen tersebut difailkan di Mahkamah Tinggi Alor Star melalui firma Taulan Rasul & Co. jam 10.30 pagi tadi.

Pada PRU ke-12 pada 8 Mac yang lalu, Mohd. Sanusi sebagai calon PAS tewas kepada calon BN, Mohd. Tajudin Abdullah dengan majoriti 252 undi.

Tiga nama disenaraikan sebagai defendan dalam petisyen tersebut iaitu Mohd. Tajudin, Suruhanjaya Pilihan raya dan Pegawai Pengurus Pilihan raya Parlimen Sik.

Mohd Sanusi yang dihubungi menjelaskan terdapat 13 tuntutan yang dikemukakan di dalam petisyen tersebut dan antaranya ialah berkaitan kemasukan 1,031 pengundi pos di Daerah Mengundi Kota Aur yang tidak mengikut peraturan.

Menurutnya, seramai 1,031 pengundi pos tersebut tidak tercatat ketika nama bagi Daftar Pemilih Tambahan (DPT) Suku ke 3 tahun 2007 dibuka untuk pameran dan bantahan. Bagaimanapun nama-nama tersebut diwartakan dalam DPT 3 sebagai pengundi pos dan sekaligus digunapakai dalam PRU ke 12.

Peguam Darshan Singh mengetuai pasukan 12 orang peguam yang bakal menghadapi perbicaraan kes ini yang akan ditetapkan tarikhnya kemudian.

Hari ini adalah hari terakhir bagi mana-mana pihak yang terkilan dengan keputusan PRU yang lalu untuk memfailkan petisyen. Petisyen dibuat dalam masa 21 hari selepas keputusan PRU diwartakan. Keputusan PRU ke-12 diwartakan pada 8 April lalu. - mks.

PAS fail petisyen semak keputusan pilihan raya Parlimen K.Terengganu

KUALA TERENGGANU, 28 April (Hrkh) - PAS Terengganu memfailkan petisyen di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini memohon supaya disemak semula keputusan pilihan raya bagi kawasan Parlimen Kuala Terengganu pada hari pengundian, 8 Mac lalu.

Petisyen itu dikemukakan oleh Setiausaha Dewan Pemuda PAS negeri, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah, yang merupakan pengundi di kawasan Parlimen berkenaan di Pejabat Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Nurul Huda Akmal Mohamed, kira-kira jam 12.00 tengah hari.

Beliau menamakan pegawai pengurus pilihan raya bagi Parlimen Kuala Terengganu, Dato' Mat Razali Kassim, Suruhanjaya Pilihan Raya dan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Dato' Razali Ismail sebagai defendan.

Turut bersamanya ialah Setiausaha Pemuda PAS kawasan, Wan Mohd Faizul Wan Abas dan peguam Kamaruzzaman A Wahab.

Dalam pilihan raya umum ke-12 lalu, calon PAS,Mohamad Sabu tewas kepada calon BN, Razali Ismail dengan majoriti 628 undi. Mohamad memperolehi 31,934 undi sementara Razali 32,562 undi manakala calon Bebas, Maimun Yusof hanya 685 undi. - mks.

UMNO Terengganu fail tiga petisyen

KUALA TERENGGANU 28 April – UMNO Terengganu memfailkan tiga petisyen di Mahkamah Tinggi di sini hari ini berhubung salah laku penyokong dan aktivis parti Pas semasa Pilihan Raya Umum Ke-12, 8 Mac lalu.

Tiga petisyen tersebut yang dikemukakan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Rosol Wahid melibatkan salah laku penyokong pembangkang itu di kawasan Parlimen Marang, Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang dan DUN Manir.

Rosol melalui panel peguam, Tetuan Ahmad Shahabudin & Co. menyerahkan ketiga-tiga petisyen berkenaan di Pejabat Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Nurul Huda Akmal Mohamed kira-kira pukul 2.30 petang.

Dalam petisyen melibatkan Parlimen Marang dan DUN Rhu Rendang, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga wakil rakyat kedua-dua kerusi itu dinamakan sebagai defendan pertama manakala Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) serta pegawai pengurusan pilihan raya Parlimen Marang, Rahman Che Ali sebagai defendan kedua dan ketiga.

Bagi petisyen melibatkan DUN Manir, UMNO Terengganu menamakan ADUN kawasan itu, Datuk Harun Taib sebagai defendan pertama manakala SPR dan pegawai pengurusan pilihan raya Parlimen Hulu Terengganu, Rozali Salleh sebagai defendan kedua dan ketiga.

Pada sidang akhbar di Pejabat Badan Perhubungan UMNO negeri selepas itu, Rosol berkata, melalui petisyen-petisyen berkenaan, UMNO Terengganu mahu sesuatu dilakukan terhadap salah laku para penyokong dan aktivis Pas semasa pilihan raya umum lalu.

Menurutnya, antara salah laku berkenaan adalah menghalang pengundi membuang undi, merampas kad pengenalan pengundi dan menakutkan pengundi daripada keluar mengundi.

‘‘Kami mempunyai dokumen dan bukti kukuh berhubung salah laku penyokong dan aktivis Pas itu malah saksi-saksi kejadian juga bersedia memberi keterangan di mahkamah,” ujarnya.

Beliau berkata, petisyen itu perlu kerana tindakan para penyokong dan aktivis Pas itu menyalahi amalan demokrasi di negara ini.

Semalam, UMNO Terengganu memfailkan petisyen di Mahkamah Tinggi di sini bagi memohon pemeriksaan rapi dan pengiraan semula dibuat ke atas 127 undi pos bagi kerusi DUN Ladang yang ditolak oleh SPR pada hari pengundian.